Saturday, July 7, 2012

Selisih Faham, Lumrah Percintaan


Perkahwinan merupakan sesuatu perkara yang dituntut oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah. Perhubungan suami isteri merupakan satu rahmat dan tanda kebesaran Allah kepada umatnya. Bagaimanapun dalam melayari kehidupan berumah tangga sudah tentu tidak dapat dielakkan perselisihan faham antara suami isteri sama ada berpunca daripada suami ataupun dari pihak isteri. 
Pasangan seharusnya menyedari bahawa perkahwinan merupakan satu perkongsian hidup dua insan berlainan jantina dan mempunyai latar belakang yang berbeza. Akibat perbezaan itu, ia mempengaruhi cara berfikir, sikap, nilai dan cita rasa individu dan seterusnya menimbulkan perselisihan faham dan pertelingkahan.Dalam kehidupan normal, mana mungkin tidak berlaku pertelingkahan bak kata P. Ramlee sedangkan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri.
Dunia rumah tangga boleh diibaratkan seperti air lautan ada pasang surutnya. Ada masa air laut bergelora dan ombak akan mengganas menghempas pantai.Begitulah juga dalam kehidupan berumah tangga ada masa kita gembira serta bahagia dan kadangkala pula dirasakan rumah tangga begitu membosankan sehingga berlaku pergaduhan..
Walau bagaimana rapatnya hubungan suami isteri, pasti akan berlaku pertelingkahan kecil atau terbitnya rasa tidak puas hati kerana perkara seperti ini mudah berlaku ibarat lidah dan gigi pasti akan tergigit juga. Namun, yang membimbangkan ialah sekiranya perkara seperti ini tidak dibendung akan mengakibatkan hubungan suami isteri retak dan seterusnya hancur.
Seharusnya dalam pergaduhan antara pasangan, jangan ungkit perkara-perkara yang telah berlaku. Hal sedemikian hanya akan menimbulkan lagi kemarahan antara pasangan, sebaliknya salah seorang perlu bertindak mendiamkan bagi mengelak keadaan terus panas. Dalam pergaduhan, kadang kala ia boleh mematangkan perhubungan suami isteri. 


Namun harus diingatkan supaya elakkan perselisihan di hadapan orang lain termasuk anak-anak kerana ia akan membuatkan mereka mengikuti perangai yang tidak baik itu. Dalam perkahwinan kita terpaksa berkongsi segalanya dan melalui perbalahan, kita akan tahu kelemahan dan kelebihan suami atau isteri namun harus diingatkan supaya tidak menggunakan bahasa yang kesat.
Walaupun pedih disakiti pasangan namun jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang kotor, lucah, mencarut kepada pasangan sebaliknya berfikirlah secara bijaksana.  Perkara negatifnya apabila perbalahan tidak dikawal dan masing-masing mahu menunjukkan ego sendiri, pertengkaran yang berkisar perkara kecil atau remeh-temeh boleh berlarutan kepada ‘perang dingin’ atau krisis lebih besar.
 Sumber Asal: Suara Hati